Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada sesi Mesyuarat Suruhanjaya Mengenai Dadah Narkotik di Vienna hari ini.

VIENNA – Kerajaan Malaysia memandang serius sindiket pengedaran dadah dan kaitannya dengan jenayah terancang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara jenayah yang berkaitan ialah rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, pada tahun lepas, pihaknya berjaya merampas sebanyak USD21.6 juta dan melucuthak hartanah yang terkait dengan sindiket dadah bernilai kira-kira USD4 juta.

“Dalam usaha membendung rakyat daripada bencana dadah, Malaysia mengenalpasti kepentingan kuasa komuniti dengan menyediakan rakyat kemahiran menangani isu penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada sesi Mesyuarat Suruhanjaya Mengenai Dadah Narkotik di sini hari ini.

Pada tahun 2018, katanya, Malaysia mengendalikan sebanyak 97 latihan pencegahan berkaitan dadah melibatkan seramai 5,525 pemimpin masyarakat di kawasan berisiko tinggi.

Menurut beliau, langkah meningkatkan akses kepada kualiti pemulihan juga diambil melibatkan mangsa dadah termasuk mereka yang memerlukan dalam kalangan wanita, kanak-kanak dan individu di dalam penjara yang memerlukan rawatan.

Terbaharu, katanya, ada kira-kira 30 institusi dan 30 kemudahan awam yang menyediakan rawatan pemulihan.

Sebagai tambahan, rawatan pemulihan dadah terapi dadah pengganti juga disediakan di klinik kerajaan dan swasta.- MalaysiaGazette