Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – “Dia pergi ke? saya pun tak tahulah”.

Itu reaksi Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila disoal mengenai Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang berada di Batam, Indonesia ketika ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020.

Reaksi itu jelas menunjukkan beliau tidak tahu langsung bahawa Osman pergi ke Batam untuk tujuan pelancongan semasa Johor berdepan krisis pencemaran Sungai Kim Kim sejak minggu lalu.

Tun Mahathir diminta mengulas tindakan Osman melawat Batam yang menyaksikan beliau dikutuk orang ramai kerana mengutamakan lawatan ketika negeri itu berdepan krisis kesihatan serius di Pasir Gudang.

Mahathir turut diminta menjelaskan pendekatan Osman dalam mengendalikan insiden pencemaran kimia yang menyebabkan lebih 3,000 orang terjejas.

Beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan mempertahankan pendekatan dan langkah yang dilaksanakan Osman dalam menangani isu tersebut.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan bahawa Osman selaku Menteri Besar negeri itu mempunyai pandangan tersendiri mengenai krisis pencemaran sungai itu.

“Secara fakta pada akhirnya kami mempunyai pandangan sama bahawa tidak wujud keperluan untuk mengisytiharkan darurat atau panik di negeri itu.

“Ini kerana kami tahu apa yang kami lakukan (pendekatan) ialah yang sepatutnya diambil dan betul dan situasi semasa ditangani secara baik,” katanya. – MalaysiaGazette