KUALA LUMPUR – Dakwaan mengatakan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas akan memisahkan orang Melayu dan Islam daripada kaum lain adalah tuduhan fitnah kepimpinan kanan Pakatan Harapan (PH).
Fitnah dan dakyah itu terpaksa dimainkan oleh DAP, salah satu parti terkuat PH kerana menyedari kuasa serta pengaruh mereka akan menjadi lemah dengan penyatuan ummah itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Putih, Muhammad Saifullah Ali berkata, paling malang dan menyedihkan apabila ketua kerajaan, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri turut terjebak dengan dakyah DAP.
Katanya, Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sanggup membelakangkan fakta dengan menuduh penyatuan UMNO-Pas menyebabkan orang Melayu akan berpisah dari kaum Cina dan India.
“Ini tuduhan liar dan tidak tepat. Selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) BN sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan dan hampir 30 tahun Pas memerintah Kelantan, masyarakat dan pembangunannya semakin bertambah baik.
“Malah, ada yang mengatakan perpaduan antara Melayu, Cina dan India di negeri Pantai Timurlah paling sempurna sekali,” katanya di sini semalam.
Muhammad Saifullah berkata, DAP sekarang sedang dalam ketakutan dengan penyatuan ummah antara kedua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu.
Ini jelas, katanya, apabila ramai pemimpin PH terutama DAP mengeluarkan kenyataan buruk dan jelek sehingga ada yang mengatakan penyatuan ummah merupakan satu deklarasi perang terhadap kaum lain.
Tegas beliau, turut tidak terlepas dengan ketakutan itu ialah Parti Amanah Negara (PAN).
“Pemimpin PAN ini kononnya berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi sanggup menghina penyatuan ummah ini.
“Lupakah pemimpin PAN, Islam menegah umatnya berpecah belah? Dan ketegangan antara rakyat di kampung ketika dahulu sudah berakhir dan mereka kini sedang menikmati indahnya bersatu dan bersama atas tali Islam dan iman,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mengecam tindakan DAP dan sekutunya yang disifatkan sebagai sangat melampau dan kurang ajar apabila memfitnah UMNO dan Pas.
“Islam itu agama kedamaian dan rahmat seluruh alam. Usahlah kamu bertindak seolah Islam itu zalim.
“Sedarlah, kalau Islam itu zalim, maka Tunku Abdul Rahman tidak menerima kaum Cina dan India untuk hidup bersama di bumi ini dengan memberi taraf kewarganegaraan,” katanya.
Beliau mengingatkan DAP agar berhenti daripada memfitnah kerjasama Pas-UMNO dan tidak cuba mengeruhkan keadaan sehingga menghancurkan perpaduan Melayu, Islam. – MalaysiaGazette