JOHOR BAHRU, 17 Mac -- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) melihat peta lokasi pencemaran Sungai Kim Kim yang ditunjukkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika mengadakan lawatan ke pusat rawatan awal mangsa sisa bahan kimia Sungai Kim Kim di Medic Base, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini. Beliau berkata sejak pencemaran Sungai Kim Kim mula berlaku pada 7 Mac lalu, sebanyak 76 laporan polis diterima setakat tengah hari tadi. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan pihaknya sudah mempunyai beberapa ‘petunjuk’ berhubung suspek yang terlibat dengan kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menurut beliau, usaha untuk mengesan dan menjejaki suspek itu sedang giat dijalankan, melibatkan kerjasama antara polis Bukit Aman dan juga polis Johor.

“Usaha untuk mengesan suspek terlibat sedang diperhebatkan ketika ini. Jadi, saya harap orang ramai mesti memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal dari aspek keselamatan.

“…harap patuh kepada sekatan jalan raya yang dibuat. Ada sembilan tempat (sekatan jalan raya) saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor sebentar tadi,” katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa-mangsa kejadian yang dirawat di Pangkalan Perubatan, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan perumahan yang ditinggalkan sementara oleh penduduk susulan kejadian, pihaknya telah menempatkan tiga platun atau 150 anggota untuk berkawal.

“Penempatan (anggota)  itu bertujuan untuk memastikan tiada kecurian berlaku ke atas rumah-rumah mangsa yang telah ditinggalkan.

Selain itu, kita juga tidak membenarkan lori-lori masuk ke kawasan bencana (pencemaran) kerana tidak mahu kejadian sama, berulang,” katanya.

Mohamad Fuzi juga memberitahu setakat ini, sebanyak 76 laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast