SEPANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah kerajaan untuk melancarkan projek kereta nasional yang ketiga adalah bagi membolehkan rakyat Malaysia mempelajari dan memahami teknologi kejuruteraan automotif.

Beliau berpendapat bahawa Malaysia “tidak tahu apa-apa” dan kurang pengetahuan berhubung dengan industri kejuruteraan automotif.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Festival GT Asia di Sirkit Antarabangsa Sepang hari ini, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia berpendapat bahawa kereta nasional kita adalah teruk,dan tidak menyokong rancangan kerajaan untuk melancarkan projek kereta ketiga ini.

“Orang ramai berpendapat kereta kita adalah teruk. Mereka kata jangan beli kereta Malaysia, sebaliknya beli kereta luar. Anda lihat, mereka (rakyat Malaysia) berpendapat mereka sudah tahu segala-galanya termasuk teknologi yang terlibat di sini. Itulah sebabnya mereka tidak mahu kereta ketiga dan berkata ia membazirkan sahaja wang.

“Mereka tidak tahu apa-apa (mengenai) kejuruteraan automotif. Itu sebabnya kami (kerajaan) merancang untuk memperkenalkan kereta nasional ketiga untuk mempelajari teknologi yang terlibat. Anda lihat bagaimana China maju dalam tempoh yang singkat kerana mereka menerima untuk terlibat dalam perniagaan automotif,” katanya.-BERNAMA