Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (dua kiri) diiringi Ketua Pengarah IKIM, Datuk Azizan Baharuddin (kiri) berbual dengan sebahagian peserta pada Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin.

Sebelum itu, wakil rakyat DAP berkenaan mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas apabila memberi pandangan mengenai serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, kerjasama Pas-UMNO merupakan kerjasama politik yang sama sekali berbeza dengan ekstrimisme agama.

“Saya pun dengar begitu dan saya tidak bersetuju. Ia dua benda berbeza. Apa yang berlaku di Malaysia ni adalah politik.

“Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan itu pastinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Chong Sin itu yang mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk partinya sendiri dan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette