Logo Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Kegagalan segelintir pembayar cukai mengemaskini maklumat peribadi dan akaun bank mengakibatkan proses bayaran balik lebihan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) tidak dapat disempurnakan.

Sedangkan pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar merupakan keutamaan LHDNM dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDNM berkata, berdasarkan rekod, bagi tahun 2018 sebanyak 6.22 peratus atau sekitar RM486.29 juta lebihan cukai gagal dibayar balik atas beberapa sebab iaitu:

i. Cek atau baucar bayaran balik cukai tidak diterima oleh pembayar cukai dan dikembalikan semula kepada LHDNM akibat perbezaan alamat tempat pembayar cukai dengan alamat yang didaftarkan dengan LHDNM;

ii. Maklumat bank, nombor akaun dan nombor pengenalan diri/pendaftaran syarikat atau pertubuhan yang terdapat dalam pangkalan data LHDNM tidak sepadan dengan rekod dan maklumat pembayar cukai yang terdapat pada pihak bank; dan

iii. Akaun bank pembayar cukai telah ditutup atau tidak lagi aktif.

Sehubungan itu, bagi membantu LHDNM mengurangkan kadar peratusan kegagalan pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar semua pembayar cukai dinasihatkan mengisi maklumat yang terkini dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahunan mereka.

Selain itu, pembayar cukai juga boleh menggunakan kemudahan sistem e-Kemaskini atau Borang Maklum Balas yang boleh diakses di www.hasil.gov.my pada bila-bila masa untuk mengemaskini maklumat peribadi dan perbankan mereka secara dalam talian.

Antara maklumat terkini dan penting yang diperlukan untuk mempercepatkan proses bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nombor pengenalan diri, nombor akaun bank, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor pendaftaran syarikat atau pertubuhan (bagi pembayar cukai kategori syarikat / pertubuhan).

Mulai 1 Januari 2020, bayaran balik cukai pendapatan akan dilaksanakan sepenuhnya menggunakan kaedah bayaran elektronik e-payment selaras dengan seruan kerajaan bagi memelihara kelestarian alam sekitar dalam mempromosikan kempen Go Green iaitu memastikan pengurangan kertas cetakan.

LHDNM juga akan meningkatkan pelaksanaan transaksi bayaran balik cukai pendapatan secara dalam talian melalui kaedah Pemindahan Dana Elektronik. – MalaysiaGazette