Datuk Seri Najib Razak.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dengan nada bersahaja menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya gagal memerintah negara kerana menjadikan rakyat semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.

Sambil memberikan contoh harga telur yang semakin meningkat, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan (BN) menyindir bagaimana kerajaan khasnya kementerian tertentu akan membantu mengurangkan bebanan rakyat kelak.

“Ketika hendak jaga kawalan harga, seorang menteri itu akan menyiasat mengapa harga KFC dan McDonalds naik tetapi sampai sekarang kita tidak dengar langsung tentang siasatan tersebut.

“Saya hendak beritahu, jika hendak kawal harga, tolong kawal dulu harga telur sebab apabila menteri umum harga telur turun dua sen dalam satu sidang media besar-besaran, hari ini harga telur triple A telah menghampiri 50 sen sebiji.

“Jadi, kalau harga telur itu pun tidak boleh dikawal, jangan harap harga lain,” sindirnya ketika membahaskan titah Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Sejurus selepas Najib berkata demikian suasana menjadi gamat termasuk di bilik media.

Terdahulu, Najib juga memberikan beberapa contoh bagaimana sejak 9 Mei tahun lepas, bukan sahaja keadaan ekonomi merudum teruk sebaliknya ia memberi kesan besar kepada rakyat.

Kata Najib, beliau telah turun padang menemui rakyat dari pelbagai tempat dan rata-rata mengadu tentang keadaan ekonomi dengan ketidaktentuan politik di negara ini selain pelbagai dasar serta inisiatif kerajaan terdahulu sudah tidak menjadi amalan lagi.

“Saya ingin berikan beberapa contoh, ketika berada di Sungai  Koyan beberapa bulan lepas, saya berjumpa dengan seorang jawatankuasa masjid yang membuat pendedahan gajinya pada bulan lepas hanya RM74 sahaja.

“Ketika BN memerintah, kita tidak benarkan ini malah tentukan kadar minima gaji untuk golongan ini.

“Seorang ibu menghampiri saya, anaknya yang berminat untuk menjadi polis akhirnya berjaya menjawat jawatan itu dengan pangkat koperal dengan gaji sebanyak RM1, 400 tetapi malangnya, PTPTN dengan cara paksaan memotong RM400 setiap bulan.

“Dulu, janji mahu hapuskan PTPTN dalam manifesto tetapi kini lakukan dengan jauh lebih ekstrem berbanding kerajaan terdahulu. Buat pemotongan dengan begitu dashyat. Bayangkan polis itu yang tinggal di KL dengan gaji bersih RM1,000 sahaja?

“Semalam, ketika saya adakan pertemuan dengan warga Felcra di Jempol, saya diberitahu, para peserta itu tidak dibayar sejak lapan bulan lepas RM800 setiap bulan, alih-alih kata ekonomi terjejas,” tegasnya. –MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast