Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR- Malaysia mengekalkan kedudukannya yang kukuh di peringkat global, apabila menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara dan tempat ke-12 daripada 169 negara dari segi hubungan perdagangan, demikian menurut laporan DHL Global Connectionness Index (GCI).

Edisi kelima GCI, yang mengukur arus perdagangan, modal, maklumat dan rakyat antarabangsa, menyebut Malaysia juga meningkatkan pembabitan hubungannya yang mendalam dan meluas di peringkat global dengan masing-masing pada tempat ke-15 dan ke-28 di dunia.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo, berkata kedudukan Malaysia secara konsistennya di tangga ke-20 dalam Indeks Perhubungan Global dibuktikan dengan pertumbuhan mantap perdagangan Malaysia dengan ASEAN.

“Dengan meningkatkan hubungan negara kita, Malaysia bersedia untuk mencapai sasaran pertumbuhan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.

Laporan GCI menyebut negara Asia Tenggara memperoleh manfaat daripada hubungan dengan rangkaian bekalan Asia yang lebih luas serta inisiatif dasar ASEAN yang mempromosi integrasi ekonomi.

Malaysia dan tiga negara Asia Tenggara lain, Kemboja, Singapura dan Vietnam, adalah ekonomi dengan aliran antarabangsa melebihi jangkaan, kata laporan itu.

“Ini dijangka mewujudkan kesan positif ke atas rantau ini kerana hubungan global yang lebih mendalam ini dapat membantu mempercepat pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast