HONG KONG – Kelembapan ekonomi China telah menyebabkan pendapatan korporat terjejas termasuklah nilai saham rumah fesyen ternama Itali, Prada SpA yang mengalami kemerosotan keuntungan tahunan tidak diduga akibat kejatuhan teruk pasaran pengguna.
Penyusutan keuntungan syarikat yang disenarai di Bursa Hong Kong itu disumbang terutamanya oleh penurunan permintaan daripada pelancong-pelancong China di Hong Kong dan Macau akibat kejatuhan nilai matawang yuan.
Jenama mewah lain termasuk Gucci turut menunjukkan kesan yang sama disebabkan oleh keengganan pelancong China berbelanja di luar namun kesan negatif tersebut berjaya diimbangi dengan perbelanjaan pengguna membeli-belah di tanah besar.
Bagaimanapun, Prada gagal memikat pembeli untuk berbelanja di tanah besar, kata penganalisis Citigroup, Thomas Chauvet.
Pengguna-pengguna China mula berhati-hati dalam berbelanja disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi paling perlahan dalam tempoh tiga dekad di samping perang perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Walaupun penjualan kereta dan iPhones menyaksikan kejatuhan terbesar setakat ini, prestasi kewangan Prada tetap mencetuskan kebimbangan terhadap keputusan golongan pertengahan atas China untuk mengurangkan pembelian barangan berjenama.
Bagi industri yang sangat bergantung kepada permintaan dari China iaitu sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mewah global berjumlah AS$1 trilion, angka yang ditunjukkan Prada itu amat membimbangkan. – Bloomberg