maszlee
Maszlee Malik

JOHOR BAHRU – Keputusan untuk menyambung sesi persekolahan setelah diberikan cuti sejak beberapa hari lalu hanya akan diketahui petang ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, perkara itu akan diberitahu selepas beliau mendengar taklimat daripada jawatankuasa pengurusan bencana di bilik gerakan di Pejabat Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

“Selepas ini saya akan mendengar taklimat daripada jawatankuasa pengurusan bencana di bilik gerakan utama, ini penting untuk tentukan sampai bila sekolah akan ditutup. Saya perlukan data, input, nasihat dan pandangan daripada mereka.

“Saya rasa agak tenang bila ramai pesakit dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan sekolah yang telah keluar hospital berbanding jumlah yang ramai sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menemui mangsa-mnagsa yang dirawat akibat pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, sebanyak 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup serta-merta ekoran pencemaran toksik di Sungai berkenaan.

Langkah itu diambil bagi menjamin keselamatan dan kesihatan murid, guru serta kakitangan sekolah daripada terkesan dengan insiden yang berlaku.

Adalah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan untuk sentiasa memberi pemantauan secara berterusan kepada warganya dalam usaha memastikan keselamatan mereka terus terjamin. – MalaysiaGazette