Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) dalam satu sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

PUTRAJAYA- Kerajaan akan meluaskan program Food Bank Malaysia kepada 20 buah universiti awam bagi membantu pelajar-pelajar daripada golongan B40 untuk mendapatkan makanan pada harga yang lebih berpatutan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution, sebanyak 13 francais pasaraya telah bersetuju untuk menyediakan makanan tambahan kepada kira-kira 430 cawangan mereka di seluruh negara.

Tambah beliau, persatuan pelajar akan mengambil alih program Food Bank Malaysia untuk para siswazah.

“Program tersebut akan lebih mapan kerana mereka tahu tujuannya (program tersebut diadakan) dan mereka juga mengenali rakan-rakan terbabit (pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan terpaksa makan sekali sehari sahaja).

“Kami menyediakan bantuan dari segi makanan manakala persatuan pelajar pula akan menguruskan pengagihan lebih berkesan,” katanya semasa sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada KPDNHEP untuk menyediakan 14 buah lori dilengkapi pendingin (chiller) bertujuan melaksanakan program Foodbank Malaysia bagi mengedarkan makanan kepada golongan B40 termasuk di 20 universiti awam.

“Ini merupakan sebuah inisiatif awam-swasta untuk memperluas capaian bank-bank makanan yang ditubuhkan NGO dan pihak swasta, dan memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pihak yang memerlukan dan kumpulan sasaran,” kata Menterinya, Lim Guan Eng.

Tambahnya, kerajaan prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat, terutamanya oleh golongan B40.

Inisiatif-inisiatif baharu seperti ini, pemberian Bantuan Sara Hidup, dan takaful perlindungan mySalam yang memberikan bantuan kewangan untuk penghidap 36 penyakit kritikal daripada kumpulan B40, merupakan antara usaha Kerajaan untuk meringankan beban tersebut.

Kerajaan juga komited untuk memastikan kenaikan harga terkawal terutamanya untuk barang keperluan. Pengenaan had paras harga runcit untuk minyak RON95 pada RM2.08 seliter, yang diturunkan daripada RM2.20 seliter, dan minyak diesel pada RM2.18 merupakan salah satu langkah yang diperkenalkan untuk tujuan ini.- MalaysiaGazette