Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri supaya melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.

Sultan Selangor bertitah, baginda telah dimaklumkan bahawa empat atau lima batang sungai di Selangor telah tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik.

“Jika perlu, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di Selangor ini.

“Selain itu, pendidikan kepada masyarakat perlu ditambah lagi seperti mengadakan kempen-kempen yang memberi kesedaran agar menjaga kebersihan sungai-sungai yang menjadi salah satu sumber air di Selangor,” titah baginda pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin seterusnya menitahkan supaya kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Selangor dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air di negeri itu mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.

Titah baginda, kerajaan hendaklah memastikan bahawa tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan-hutan simpan dan kawasan tadahan air ini, selain memperluas program penanaman pokok yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memelihara kehijauan alam sekitar.

Sultan Selangor turut bertitah bahawa penggunaan air domestik di negeri itu telah mencatatkan kadar penggunaan lebih tinggi berbanding daripada kadar nasional.

Baginda bertitah, sekiranya jumlah itu dapat diturunkan, baginda yakin ia boleh menyumbang kepada penjimatan air bersih dan dapat menjamin bekalan sumber air berterusan.

“Justeru itu, selain daripada tumpuan kepada menambah baik pengurusan perkhidmatan bekalan air, beta mahu kerajaan negeri bersama-sama dengan agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) memberi tumpuan mendidik rakyat supaya mereka sedar akan tanggungjawab menghargai air serta tidak menggunakannya dengan sewenang-wenang dan membazir.

“Beta berkenan apabila kerajaan negeri telah mengambil tindakan proaktif, strategik dan terancang dengan menyediakan Pelan Induk Sumber Air Negeri Selangor yang dapat menjamin kelangsungan bekalan air sehingga tahun 2065,” titah baginda.

Mengenai pendidikan tahfiz di Selangor, Sultan Sharafuddin bertitah terdapat sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Justeru, baginda menitahkan sekolah-sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS serta tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik moden supaya ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Sultan Selangor dalam pada itu menasihati rakyat supaya mempertahan dan memelihara perpaduan serta keharmonian bagi menjamin kestabilan dan kesentosaan negeri.
“Rakyat Beta hendaklah sentiasa menghormati antara satu sama lain dan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

“Gunakanlah kemajuan teknologi yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara yang positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu serta menghina sesesorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titah baginda. – BERNAMA