KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Tan Sri Noh Omar tetap tidak berganjak daripada tindakan beliau menyoal disebalik kebenaran kenyataan ‘Taliban’ oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan tidak sesekali berniat memalukan institusi Parlimen seperti yang didakwa.
Malah tindakan menggantung beliau daripada menghadiri sesi Dewan Rakyat selama tiga hari berkuatkuasa hari ini disifatkan tidak adil selain tidak mempunyai sebarang penjelasan yang jelas dalam peraturan sedia ada.
Kata Noh Omar, beliau akan tetap menghadiri sesi Dewan Rakyat dan berjuang untuk membela dirinya selain tidak akan berkompromi sebarang tindakan ‘ruling’ dikeluarkan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak pagi tadi.
“Saya hendak tahu atas kapasiti atau peraturan yang mana anda boleh bertindak menggantung saya?
“Saya tidak ada dalam Dewan pagi tadi, mengapa seolah-olah tidak sabar sehingga perlu menggantung saya apabila saya tidak ada dalam Dewan untuk membela diri? Ini peraturan mana? Saya hendak tahu, jadi akan tetap hadir hari ini. Bagi saya penjelasan.
“Adakah ini ‘rule of law’ atau ‘rule of jungle’? Biarkan kerajaan Singapura khasnya speaker negara itu hadir melihat Malaysia Baharu ini. Jatuh hukuman tanpa bela diri?
“Sebenarnya adakah saya yang menghina Dewan atau Timbalan Speaker yang menghina Dewan? Saya bukan ingkar tapi persoal apakah peraturan sebelum ini boleh membenarkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang untuk membela diri selepas digantung. Mengapa itu boleh saya tidak boleh?
“Saya berhak membela diri dan tidak ada sesiapa yang lebih berkuasa daripada undang-undang dan peraturan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen tadi.
Terdahulu pagi tadi, Kor Ming membuat ‘ruling’ mengikut Perkara 43 dan 44 menggantung Noh Omar kerana bertindak menghina sesi Parlimen selain daripada menghamburkan tuduhan terhadap pemimpin DAP itu ketika duduk di kerusi Speaker.
Malah Kor Ming turut menuduh Noh Omar telah berkelakuan tidak senonoh dengan mengatakan beliau tidak layak menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua selain memalukan jubah serta kerusi tersebut.
Tambah Noh Omar, beliau tidak rasa bersalah kerana menyoal tentang kenyataan ‘Taliban’ itu yang jelas telah membawa rasa kurang senang bukan sahaja dalam kalangan ahli politik sebaliknya rakyat di negara ini sendiri.
“Saya tuntut penjelasan, patutnya beliau menjawab sahaja atau sekurang-kurangnya saman media jika mereka telah salah tulis. Malah, Pengerusi DAP Sarawak yang juga Timbalan Menteri bersetuju dengan kenyataan Kor Ming dengan menyatakan penyatuan Pas-UMNO itu umpama Taliban di Afghanistan.
“Jadi apa salahnya saya bertanyakan kebenaran itu? Kenyataan itu mendapat sokongan semalam oleh ahli politik DAP yang lain. Jadi apa cerita sebenarnya? Itu persoalan saya tapi bukan sahaja tidak dijawab, sebaliknya membuat penggantungan bila saya tiada dalam Dewan untuk membela diri.
“Ini bukan ‘rule of law’ seperti yang di canang-canang, saya bukan Ahli Parlimen setahun jagung, sudah 6 penggal jadi wakil rakyat, sudahlah. Saya tetap hadir sesi Dewan dan tuntut pembelaan, kita tengok bagaimana,” tegasnya.
Noh Omar yang masuk ketika sesi Dewan Rakyat sedang berlangsung sekitar 12.30 tengah hari tadi mencetuskan kekecohan sehingga Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meminta bentara mengeluarkan Noh Omar.
Tindakan itu juga menyebabkan ramai dalam kalangan pembangkang bangkit mengeluarkan pelbagai kenyataan malah apa yang lebih memalukan apabila adanya delegasi dari Singapura termasuk Speaker negara itu.
Rashid kemudian bertindak menagguhkan sesi sehingga 2.30 petang sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Noh Omar. -MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/18/kor-ming-noh-bergaduh-isu-taliban/