Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap kepada media pada Persidangan Agung Tergempar (EGM) Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Satu memorandum yang merangkumi isu-isu berbangkit anggota dan pegawai polis mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau baru sahaja menerima memorandum itu daripada dua persatuan iaitu Persatuan Pegawai Kanan Polis yang diwakili presidennya, Senior Asisten Komisioner Sulaiman Yahaya dan Persatuan Pangkat Rendah Polis menerusi Mesyuarat Agung Tergempar petang tadi.

“Sebenarnya permohonan mengadakan mesyuarat tergempar ini banyak kali dipohon oleh kedua dua persatuan ini.

“Saya dan barisan pucuk kepimpinan telah memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan sesi membahas dan menyuarat perkara penting bagi PDRM berkaitan isu IPCMC.

“Jadi apa yang dibentangkan resolusi yang telah mereka buat kita akan panjangkan kepada pucuk kepimpinan kerajaan untuk pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dan penerimaan memorandum itu selesai kira-kira 4.30 petang tadi.

Mesyuarat tergempar itu berlangsung selama 2 jam yang bermula jam 2.20 petang tadi yang turut dihadiri Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Ditanya apa antara perkara pokok yang dibincangkan dalam usul mesyuarat tergempar itu, beliau tanpa memperincikan isu itu berkata, ada beberapa perkara yang telah diperincikan oleh persatuan persatuan.

Ujar beliau, mereka telah membentangkan secara terbuka sejak semalam tentang langkah-langkah proaktif yang perlu diambil pihak berkuasa dan juga hasrat hati mereka berhubug isu-isu IPCMC.

“Jadi kita akan kemukakan secara bertulis kepada pihak kerajaan berhubung apa yang telah mereka hasratkan hasil daripada mesyuarat yang diadakan secara panjang lebar dan mereka telah membahaskan secara terperinci dari semalam hinggalah hari ini.

“Hari ini memorandum diserahkan kepada saya dan menjadi tanggungjawab saya dengan pucuk kepimpinan polis untuk meneliti dan seterusnya kita akan kemukakan kepada kerajaan.

“Kalau perlu kita akan pertemukan wakil wakil persatuan ini juga dengan pihak kerajaan dalam masa terdekat ini,” katanya. – MalaysiaGazette