KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional yang mengalami kerugian pada tahun lalu didakwa membayar dividen lebih tinggi kepada kerajaan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Khazanah membayar sebanyak RM1.5 bilion dalam bentuk dividen kepada kerajaan dan cukai banyak RM249 juta.

Menurut bekas perdana menteri itu,  jumlah dividen dan cukai itu jauh lebih tinggi terpaksa dibayar oleh Khazanah berbanding ketika merekodkan keuntungan sebelum ini.

Pada tahun 2017, Khazanah membayar dividen sebanyak RM1 bilion dan cukai RM88 juta kepada kerajaan Barisan Nasional walaupun merekodkan keuntungan sebanyak RM2.89 bilion.

“Biasanya, syarikat yang rugi tidak perlu membayar cukai atau dividen kepada kerajaan. Tetapi Khazanah dipaksa membayar. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

“Mungkin Menteri Kewayangan sangat perlukan duit kot. Tak apa,” sindir Ahli Parlimen Pekan itu sambil menyatakan Khazanah boleh jual lebih banyak aset untuk diberi kepada kerajaan.

Khazanah melaporkan kerugian sebanyak RM6.27 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Malah, nilai aset Khazanah susut sebanyak 22 peratus atau RM25 bilion daripada RM116 bilion kepada RM91 bilion. – MalaysiaGazette