KUALA LUMPUR – Kadar pertumbuhan industri peruncitan domestik perlahan kepada 2.7 tahun ke tahun bagi suku keempat tahun lalu berbanding 3.1 peratus yang direkodkan bagi tempoh sama tahun 2017.
Pertumbuhan itu di bawah jangkaan sebanyak 4.7 peratus yang dibuat untuk suku tersebut.
Sifar cukai selama tiga bulan, jualan akhir tahun dan cuti sekolah gagal untuk merangsang pertumbuhan peruncitan, selari dengan sentimen lembap pengguna yang dilaporkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.
Kumpulan Peruncitan Malaysia berkata, kadar pertumbuhan jualan runcit pada tahun lalu adalah 3.9 peratus
“Untuk tahun keenam berturut-turut, prestasi industri runcit berada di belakang kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Subsektor pasar raya dan pasar raya besar merekodkan prestasi paling buruk dengan penyusutan 4 peratus pada suku tersebut dan 5 peratus bagi keseluruhan tahun.
“Kami berharap situasi akan stabil dan menyaksikan pertumbuhan 3.1 peratus bagi suku pertama tahun ini,” katanya walaupun pasar raya dan pasar raya besar dijangka menyaksikan pertumbuhan negatif 7.6 peratus pada suku pertama tahun ini.
Menurutnya, ia mengunjurkan jualan runcit suku pertama tahun ini berkembang 4.5 peratus atau RM108.3 bilion.
Aktiviti diramal meningkat pada pertengahan kedua tahun ini dengan mengunjurkan pertumbuhan peruncitan masing-masing kepada 3.9 peratus dan 5.8 peratus bagi suku ketiga dan keempat. – MalaysiaGazette