Penerima Anugerah Pesawah Belia, Muhammad Fadhlan Suhaimi bergambar bersama motorsikal yang dimenangi pada Majlis Anugerah Tani Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) 2019 di Hotel Palace and Golden Horses, Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2019

SERI KEMBANGAN – Bagi kebanyakan golongan muda, bidang pertanian apatah bersawah padi suatu yang jarang diminati atau menjadi pilihan kerjaya mereka.

Mungkin kerjaya ini memerlukan komitmen dan kerajinan luar biasa menyebabkan ia tidak popular kepada generasi muda.

Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, mendorong seorang anak muda, Muhammad Fadhlan Suhaimi, 29, untuk berkecimpung secara serius dalam tanaman sawah padi.

Ternyata, usahanya berbaloi apabila anak kelahiran Pasir Putih Kelantan ini berjaya membuktikan ada hujan emas di bumi sendiri dan bersawah padi menjamin masa depan cerah, seperti mana kerjaya lain.

Anak ketiga dari lima beradik itu berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum menamatkan Sijil Kemahiran Elektrikal di Kolej Komuniti Kuantan, Pahang.

Beliau menjadi pesawah dengan mewarisi sawah padi yang ditinggalkan oleh arwah datuknya empat tahun lalu.

Katanya, sebelum meninggal dunia, arwah datuknya berpesan supaya dia meneruskan kerja-kerja sawah.

“Saya mula bersawah selepas kematian datuk.

“Dulu saya pernah ikut arwah dan kawan-kawan di kampung  menanam padi sejak berusia 16 tahun namun sejak pemergian Allahyarham, saya mula mula usahakan tanah sawah yang ditinggalkannya secara serius.

“Kawan-kawan serta jiran yang turut bersawah membimbing saya cara mengusahakan sawah, sekali gus menambah minat saya.

“Pesanan kawan-kawan minta saya cuba dulu, siapa tahu ada rezeki boleh dapat hasil lumayan dan hari ini saya berjaya.

“Dengan bersawah, ia menyedarkan saya tentang  pengorbanan seorang pesawah dalam menyediakan nasi untuk komuniti sejagat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF18032019_ANUGERAH TANI BERNAS_08
Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub menyampaikan Anugerah Pesawah Belia kepada Muhammad Fadhlan Suhaimi (kanan) sambil diiringi Pengerusi BERNAS, Megat Joha Megat Abdul Rahman (kiri) pada Majlis Anugerah Tani Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) 2019 di Hotel Palace and Golden Horses, Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2019

Muhammad Fadhlan diangkat sebagai pemenang Anugerah Pesawah Belia di Majlis Anugerah Tani Bernas 2019 yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub malam tadi.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta imbuhan tambahan iaitu sebuah Motosikal Kriss MR2, trofi dan sijil.

Menurutnya, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan kampungnya sebaliknya mahu terus mengembangkan kerjayanya sebagai pesawah.

Impiannya itu terus mendapat sokongan ayah dan ibu.

“Mereka tak kecewa sebaliknya gembira saya hendak mewarisi kerjaya datuk untuk bersawah.

“Percayalah kalau kita berbudi kepada tanah, apa yang ditanam (padi) pasti akan dapat hasilnya.

“Selalu kena ingat, tanpa pesawah tidak ada beras. Jadi, kita perlu ada semangat, jiwa kental, tabah dan jangan rendahkan diri kerana kerjaya sebagai pesawah. Lawan cabaran yang mendatang, Insya Allah akan berjaya juga,” katanya yang sudah mampu memiliki aset sendiri dalam usia muda.

Beliau yang kini mengusahakan 30 ekar tanah sawah berhasrat mahu meluaskan tanaman kepada 50 ekar pada masa depan.

Ketika ini MUhammad Fadhlan menghasilkan jualan 136 matrik tan padi.

Untuk Kategori keseluruhan, Norzan Abdullah 40 tahun dari Kedah telah diangkat sebagai Pesawah Cemerlang dengan jualan padi sebanyak 195 matrik tan.

Manakala Anugerah Srikandi dimenangi oleh Noorshamsina Shamsul, 35, dari Perak yang mendapat wang tunai RM5,000, motosikal Kriss MR2, trofi dan sijil atas kejayaan merekodkan jualan padi 99 matrik tan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast