Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Semua ketua polis negeri dan daerah di seluruh negara diarahkan bersiap siaga memantau rumah ibadat ekoran insiden serangan masjid di Christchurch, New Zealand dan di sebuah tram di Belanda.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, arahan itu telah dikeluarkan serta merta sejurus selepas insiden dilaporkan minggu lalu dan juga semalam di Belanda.

“Sejurus selepas kejadian itu berlaku, saya telah memberi arahan kepada ketua polis di setiap daerah dan negeri dan semua pegawai di lapangan supaya bersiap siaga memantau keadaan masjid dan gereja takut ada sebarang tindakan balas dendam,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sebelum itu, Mohamad Fuzi diminta mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan dan tindakan polis untuk mengawal suasana di negara ini berikutan serangan rambang yang dilakukan seorang pengganas warga Australia minggu lalu di masjid sewaktu sembahyang Jumaat lalu sehingga menyebabkan 50 orang terbunuh.

“Kita memang on high alert. So semua tak perlu risau,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette