KUALA LUMPUR – Kos pembinaan projek rel Pantai Timur (ECRL) yang didakwa mencecah RM130 bilion ini adalah satu lagi propaganda daripada Pakatan Harapan (PH) memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Najib Razak berkata, kos ECRL yang dinilai sebanyak RM55 bilion semasa kerajaan BN boleh melonjak kepada RM130 bilion jika kadar faedah pinjaman daripada Exim Bank adalah 7.0 peratus setahun untuk 20 tahun.
Pengiraannya berdasarkan RM55 bilion didarabkan dengan tujuh peratus dan didarab selama 20 tahun, katanya dalam media sosialnya hari ini.
Menurut beliau, jumlah sebanyak RM77 bilion itu kemudian dicampurkan dengan kos asal sebanyak RM55 bilion.
Bekas perdana menteri berkata, unjuran RM130 bilion itu terlalu tinggi berbanding kadar faedah sebanyak 3.25 peratus seperti mana dalam surat pinjaman yang kerajaan BN yang telah persetujui.
Lagipun, katanya, semua dana RM55 bilion yang dipinjam bukan boleh digunakan sekali gus pada hari pertama kerana dana dari pinjaman untuk projek pembangunan hanya akan disalurkan secara berperingkat mengikut tahap pembinaan.
Malah, tidak ada satu sen dari RM55 bilion itu boleh dibayar balik secara ansuran untuk mengurangkan pokok atau prinsipal pinjaman selama tempoh 20 tahun ini.
Ini kerana, syarat pinjaman yang ditetapkan dari Exim Bank ialah ECRL mula membayar balik prinsipal pinjaman secara beransuran selepas ECRL mula beroperasi iaitu pada tahun ketujuh dan ECRL tidak menjana satu sen hasil dari penumpang atau kargo selepas mula beroperasi.
Najib berkata, kerajaan tidak mendapat satu sen hasil dari sebarang cukai termasuk GST, cukai korporat, cukai tanah, cukai peribadi, duti setem yang akan dikutip dari kontraktor, pembekal dan pekerja untuk projek ECRL atau dari kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar yang dijana oleh projek itu.
Juga tidak ada sebarang kenaikan nilai tanah dan harta akan berlaku di lokasi-lokasi berhampiran dengan 22 stesen ECRL yang akan menguntungkan kerajaan, dakwanya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mengungkit kerajaan PH mendakwa kos sebenar ECRL adalah RM81 bilion dan dinaikkan kepada RM110 bilion dan pada hari ini menjadi RM130 bilion
“Walaupun PH sering tuduh kos ECRL sebenar hanya RM30 bilion dan BN terlebih bayar, mereka tak pernah memberi sebarang bukti.
“Saya pernah tanya PH sekurang-kurangnya 10 kali termasuk di dalam Dewan Rakyat untuk mendedahkan mana-mana laporan yang sebut kos ECRL hanya RM30 bilion dan juga untuk mengeluarkan laporan feasibiliti (kebolehlaksanaan) ECRL yang menunjukkan projek ECRL untung untuk negara.
“Namun tidak pernah sekalipun mereka menjawab. Terus membisu,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan akan menanggung hutang RM130 bilion jika ECRL diteruskan dan hutang berkenaan mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun.
Jumlah itu membabitkan pinjaman berjumlah RM60 bilion dan kadar faedah tertentu yang perlu dibayar balik.
Najib mendakwa sebenarnya, angka RM30 bilion itu adalah kajian dibuat pada tahun 2009 dan hanya untuk jarak 545 kilometer sahaja tetapi jajaran itu dilanjutkan kepada 688 kilometer apabila BN melancarkan projek itu pada tahun 2016.
Jelasnya, jajaran berubah untuk menjadi lebih efisien dan mengelak dari pengambilan terlalu banyak tanah rakyat serta rumah mereka dan ia turut memerlukan pembinaan terowong sepanjang 50 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa. – MalaysiaGazette