Mohd. Shaid Rosli.
Mohd. Shaid Rosli.

SHAH ALAM – Selangor berpotensi menjadi pengeluar terbesar ganja di dunia.

Itu kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd. Shaid Rosli yang mahu kerajaan negeri mempertimbangkan cadangannya itu.

“Izinkan saya memberi contoh. Anda boleh mendapat RM3,000 seekar dalam setahun untuk minyak sawit.

“Tetapi ganja boleh membawa hasil pulangan sehingga RM9 juta setahun … satu ekar dengan tiga kali ganda jumlah hasil akan dikeluarkan setahun.

“Dan sekiranya Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 100 ekar, kita akan jadi pengeluar terbesar di negara ini yang turut memberi pulangan lumayan,” katanya seperti dipetik dari Malay Mail semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Kenyataan wakil rakyat PKR itu disambut dengan ketawa daripada ADUN lain.

Mohd. Shaid berkata, penanaman ganja untuk tujuan penyelidikan dan eksport perubatan sesuai dibuat di Kuala Selangor yang dirancang sebagai kawasan pertanian.

Akta Dadah Merbahaya 1952 telah menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan, jelasnya.

Bagaimanapun, cadangan ADUN Jeram itu disanggah ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad kerana ia menyukarkan aspek penguatkuasaan.

“Mengikut sejarah, ganja digunakan sebagai ubat tetapi ia telah disalahgunakan, seperti candu dan morfin. Ini adalah ubat berbahaya yang mesti dikawal.

“Dan saya juga seorang doktor yang mana saya tahu masalah mengenai ubat terkawal ini yang memerlukan penguatkuasaan yang sangat baik,” kata pakar perubatan itu.

Mengakui perkara itu, Mohd. Shaid kemudiannya berkata, lokasi bagi penanaman dan pemprosesan juga dicadangkan dilaksanakan di satu kawasan dan hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja.

“Jangan risau mengenai pasaran gelap dan sebagainya kerana kita perlu ketatkan sistem agar tidak berlaku ketirisan serta penagihan di kalangan masyarakat,” ujarnya.- MalaysiaGazette