Haniza Mohamed Talha
Haniza Mohamed Talha

SHAH ALAM – Seramai 15 penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan kerajaan negeri telah dikenakan tindakan pengusiran kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak membayar sewa dan menyewakan kepada individu lain.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, dalam proses pemutihan yang dijalankan pada 12 Februari lepas, terdapat antara penyewa yang dikenakan tindakan pengusiran mempunyai tunggakan sewa setinggi RM25,250.

“Ada tiga PPR di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, iaitu PPR Kota Damansara, PPR Hicom Shah Alam dan PPR Serendah, kadar sewa di ketiga-tiga PPR berkenaan ialah RM250, mereka yang dikenakan tindakan ini melibatkan 10 penyewa PPR Kota Damansara dan lima penyewa PPR Hicom

“Tetapi masih ramai penyewa melanggar syarat ditetapkan antaranya bayaran sewa tidak konsisten, penyewa memberi sewa kepada pihak lain dan penyewa mempunyai pendapatan melebihi had kelayakan,” katanya di sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Tambah Haniza, pihaknya melalui Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) telah mengeluarkan beberapa notis terhadap penyewa berkenaan tetapi tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Banyak kali notis dikeluarkan, tetapi mereka degil. Apabila kita potong elektrik dia sambung bekalan secara haram pula, malah ada penyewa bersikap agresif dan menyerang petugas PHSSB,” katanya.

Kata Haniza lagi, bagi fasa kedua proses pemutihan berkenaan, pihaknya telah mengeluarkan notis pengosongan kepada 25 penyewa di PPR Hicom dan 22 penyewa PPR Kota Damansara dan berharap pihak yang terlibat akur dengan arahan berkenaan.

Dalam sidang akhbar yang sama, Haniza turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPPT) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan usaha pemulihan projek terbengkalai dipantau secara berterusan.

“Terdapat 104 projek terbengkalai di Selangor dan peranan JKPPT ini adalah antaranya berfungsi sebagai penyelaras antara pemaju, pembeli dan penyelamat, memantau pelaksanaan projek dari mula sehingga mendapat Sijil Layak Menduduki dan menyediakan laporan kemajuan projek perumahan kepada kerajaan negeri,” katanya. – Bernama