Mujahid Yusof Rawa
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya telah menyelesaikan isu permit bagi Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Beliau berkata isu berbangkit itu telah selesai dan himpunan yang dirancang itu boleh diadakan.

“Itu (permit) sudah selesai, sudah diuruskan. Kita (Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sudah uruskan,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Mujahid berkata demikian dalam sidang media sebelum bertolak ke New Zealand bagi mengadakan kunjungan rasmi mengenai kematian Muhammad Haziq di Christchurch.

Isu permit itu hari ini mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana gagal membuat permohonan itu dalam masa 10 hari.

Dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, mengikut Seksyen 9 (1) memperuntukkan penganjur perlu memberi notis kepada polis 10 hari sebelum himpunan diadakan.

Pada Selasa lalu, Mujahid berkata, perhimpunan aman solidariti demi kedamaian dan menolak kebencian dirancang diadakan Sabtu ini dengan perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Beliau berkata, perhimpunan itu bertujuan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/21/mujahid-perlu-akur-sebarang-himpunan-perlu-notis-10-hari-muhyiddin/