Datuk Marzuki Yahya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.
Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia disaran tenang dan menyerahkan kerajaan New Zealand sepenuhnya untuk menyelesaikan isu serangan pengganas di dua masjid di Christchurh pada Jumaat yang lalu.

“Saya juga menyeru agar kita kekal tenang dalam menghadapi ujian ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Kerajaan New Zealand dalam merungkai masalah yang berlaku di negara mereka,” kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa yang sama menyeru penganut agama Islam menunaikan solat jenazah ghaib untuk Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi  selepas sembahyang Jumaat esok.

“Semoga doa-doa kita juga akan memberikan kekuatan buat seluruh keluarga allahyarham. Bersama-samalah kita semua ikut menunaikan solat jenazah ghaib yang telah diatur seluruh negara esok, selepas solat Jumaat,” tambahnya.

Beliau terdahulu menzahirkan perasaan sedih dan pilu terhadap berita kematian Haziq yang merupakan antara 50 mangsa tembakan rambang di Christchurch, New Zealand.

Muhammad Haziq yang hilang sejak minggu lalu sejak berlakunya serangan pengganas disahkan meninggal dunia semalam.

Bapanya, Mohd. Tarmizi Shuib, 42, turut terkena tembakan dan kini masih dirawat di sebuah hospital di negara itu. MalaysiaGazette