Dr. Mohd Asri berkongsi gambar anggota Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan forensik pada kereta rasmi yang dinaikinya.
Dr. Mohd Asri berkongsi gambar anggota Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan forensik pada kereta rasmi yang dinaikinya.

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat serta polis membantu menyiasat kes kebakaran kenderaan rasmi kerajaan awal pagi ini.

Katanya, ramai tertanya-tanya kejadian itu dan beliau sendirinya menyedari ketika bersiap untuk solat seawal jam 5.30 pagi.

“Biasanya kereta ini berada di pejabat. Takdir Allah beberapa hari ini saya parking di rumah selepas program sebelah malam.

“Rumah saya pula memang tidak menutup pagar sejak dahulu. Ini bagi membolehkan orang masuk terus ke pintu. Apatah lagi loceng rumah sudah lama rosak,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Hari ini, media melaporkan, kereta rasmi yang dinaiki Dr. Mohd. Asri musnah disyaki dibakar oleh pihak tertentu di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan, Perlis.

Kejadian disedari jam 5.45 pagi itu merosakkan bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam yang terbakar sepenuhnya.

Turut terbakar tayar hadapan sebelah kiri kenderaan itu, manakala cermin belakang dan depan juga pecah.

Kejadian disahkan Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd.

Menurut Dr. Mohd Asri, setakat ini pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus lumus dari awal pagi memaklumkan kepadanya bahawa siasatan awal mereka tidak menjumpai sebarang unsur sabotaj.

“Menurut mereka, kemungkinan kebakaran berlaku dari dalam enjin di bahagian bateri.

“Tidak ditemui unsur luaran. Apapun, kita menunggu laporan sepenuhnya siasatan polis dan forensik Bomba secara rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Dr Maza dibakar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast