Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

BANTING – Kerajaan Persekutuan hanya akan meratifikasi perjanjian antarabangsa jika ia memenuhi syarat dan bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun kerajaan sedang mengkaji secara terperinci dari semua aspek, namun ia tidak bermakna Malaysia boleh bersetuju dengan semua syarat yang ditetapkan.

“Terdapat perkara tertentu yang mereka mahu kita lakukan di bawah Statut Rom yang tidak boleh kita lakukan di negara ini.

“Sebagai contoh, Statut Rom memberikan kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan segala macam perkara.

“Sekarang ada lelaki berkahwin dengan lelaki, wanita berkahwin dengan wanita. Kita tak mahu jadi macam mereka (orang Barat). Kita hanya menerima perkara baik saja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, di sini, hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang mahu kerajaan menolak dua perjanjian antarabangsa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, perjanjian itu bertentangan dengan kuasa Raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam yang tidak boleh disentuh atau dikurangkan.

Dua perjanjian itu ialah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

Minggu lalu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan sedang mengkaji secara terperinci dari semua aspek sebelum melaksanakan perjanjian Statut Rom.

Pada 23 November lalu, Kabinet secara sebulat suara menangguhkan ratifikasi perjanjian ICERD demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

Minggu lalu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan sedang mengkaji secara terperinci dari semua aspek sebelum melaksanakan perjanjian Statut Rom.

Saifuddin yakin perjanjian berkenaan tidak akan menjejaskan kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong, yang telah pun disembah maklum pada 15 Februari lalu. – MalaysiaGazette