Kenderaan kejuruteraan yang dirempuh pesawat milik Berjaya Air dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, dekat Subang.

KUALA LUMPUR – Siasatan kes nahas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang membabitkan semua pihak yang berkepentingan dalam operasi penerbangan.

Menyifatkan nahas tersebut sungguh tragis, sumber berkata, siasatan itu akan melihat seluruh aspek dan memerlukan penelitian dalam memastikan siasatan telus dan berintegriti.

Tambahan pula, insiden itu mendapat perhatian meluas dalam kalangan orang awam.

“Semua akan kena (siasat). Dalam erti kata lain semua pihak perlu bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut,” kata sumber yang mengetahui tentang siasatan tersebut.

Selasa lalu, seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) parah selepas kereta unit kejuruteraan yang dipandunya dilanggar oleh sebuah pesawat persendirian dalam kejadian pada pukul 3.20 pagi.

Petugas berkenaan, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang cedera parah disahkan meninggal dunia pada petang Rabu.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang memantau kerja-kerja mengecat garisan di landasan berkenaan.

Tetapi nahas berlaku ketika pesawat milik Berjaya Air sudah berada di landasan dan bergerak ke taxiway (tempat parkir pesawat).

Sementara itu, seorang juruterbang berkongsikan pengalamannya memberitahu, sudah menjadi prosedur biasa bagi seorang juruterbang mendapatkan kebenaran daripada Kawalan Trafik Udara (ATC) sebelum mendaratkan pesawat yang dipandunya.

Juruterbang juga perlu sentiasa berjaga-jaga tentang Notis Kepada Juruterbang, sama ada menerima notis itu atau sebaliknya.

Untuk itu, katanya, juruterbang perlu memeriksa atau bertanya secara berulang kali dengan ATC.

Notis Kepada Juruterbang adalah pemberitahuan tentang apa yang sedang berlaku di darat agar juruterbang membuat persediaan dan langkah-langkah yang perlu.

Meskipun, sudah mendapat ‘lampu hijau’ tetapi arahan mendarat diputuskan sendiri oleh juruterbang selepas memastikan sudah mematuhi prosedur untuk mendarat dengan selamat.

“Ia termasuk memastikan tempat pendaratan selamat – selamat dalam erti kata tidak ada objek berada di landasan walaupun seekor kucing atau anjing.

“Perkara ini selalunya menjadi keutamaan juruterbang kerana jika berlaku apa-apa, punca akibat kesilapan manusia akan disiasat terlebih dahulu,” kata juruterbang kanan sebuah syarikat penerbangan.

Beliau memberitahu, juruterbang sepatutnya boleh melihat seluruh kawasan yang bakal ia mendarat dengan jelas ketika sudah berada dalam keadaan bersedia untuk menurunkan pesawat kerana lampu-lampu kapal terbang cukup terang.

Jelasnya, lampu-lampu di landasan hanya sebagai panduan kepada juruterbang untuk memandu arah pesawat, sebab itu lampu-lampu berkenaan tidak perlu terang.

“Kalau terang akan jadi silau kerana lampu pesawat terang benderang,” ujarnya sambil memberitahu ‘taxi light atau nose light’ akan dipasang sehingga pesawat selamat berhenti.

Juruterbang itu memberitahu, kesilapan manusia adalah perkara pertama yang akan disiasat dalam sebarang insiden kemalangan membabitkan industri penerbangan.

“Yang pertama itu adalah juruterbanglah. Sebab itu dalam tragedi kehilangan misteri pesawat MH370 banyak pihak mengaitkan juruterbang.

“Kesilapan manusia ini termasuklah sama ada juruterbang layak untuk terbang, mempunyai masa penerbangan mencukupi dan sebagainya. Situasi juruterbang seperti sama ada juruterbang mengantuk, di bawah pengaruh ubat, juruterbang ada ‘go home syndrome’ dan lain-lain.

“Kemudian barulah kawalan trafik, mesin (perkakasan dalam pesawat), mangsa dan keadaan persekitaran,” katanya lagi.

Malah, katanya, juruterbang sama sekali tidak boleh membuat kesilapan dengan melanggar prosedur kerana pastinya akan dihalang daripada terbang sehingga siasatan selesai.

Siasatan selalunya mengambil masa antara tiga minggu hingga tiga bulan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

Ini adalah tindakan yang perlu dipatuhi oleh CAAM kerana badan ini tertakluk dengan peraturan Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO). – MalaysiaGazette