Tertuduh N.Maridass, 35, Wang Jing Chao, 34, dan Yap Yoke Liang, 36, kesemuanya lelaki, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori dan dua pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu.

Tertuduh N.Maridass, 35, Wang Jing Chao, 34, dan Yap Yoke Liang, 36, kesemuanya lelaki, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Maridass yang berkhidmat sebagai pemandu lori di syarikat pemprosesan tayar terpakai, didakwa melupuskan buangan terjadual tersebut ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit.

Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Wang dan Yap pula yang masing-masing merupakan pengarah syarikat tersebut didakwa bersuhabat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 B(4) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000.

Wang dan Yap didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibaca bersama dengan Seksyen 42 Akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraff Md Kamal manakala Maridass diwakili peguam Ratakrishna, Wang dan Yap Yoke Liang pula diwakili peguam G.Subramaniar Nair.

Dalam pada itu, Muhammad Asyraff meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kesalahan tersebut adalah berat dan serius selain menjadi perhatian umum kerana membabitkan kesihatan ribuan masyarakat di kawasan tersebut.

Selain itu, beliau mengambil kira kemungkinan suspek melarikan diri.

Namun dalam rayuan mereka, kesemua tertuduh menerusi peguam masing-masing, memohon mahkamah supaya meringankan jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai, tidak berkemampuan dan tidak berniat atau merancang untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM100,000 terhadap Maridaas dengan seorang penjamin; RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap Yap dan pasport diserahkan kepada mahkamah manakala tiada jaminan terhadap Wang yang merupakan warga Singapura.

Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Wang, Yap dan seorang lagi pengarah dijangka menghadapi 15 pertuduhan pagi esok.

— BERNAMA