Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku, di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Banting, hari ini.

BANTING – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mempertimbang untuk melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baharu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Dr Mahathir berkata, pihaknya akan meletakkan calon yang terbaik untuk menerajui jawatankuasa Parlimen itu dalam kalangan pemimpin pembangkang dan sehingga itu Kiande masih kekal menyandang jawatan terbabit.

“Kita akan fikirkan perkara itu, kita akan cari calon yang baik. Buat masa ini beliau (Kiandee) kekal sebagai pengerusi PAC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku, di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau mengulas tindakan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar semalam yang meletakkan jawatan sebagai salah seorang daripada ahli PAC.

Media melaporkan keputusan itu kerana Nurul Izzah tidak berpuas hati dengan kepimpinan PAC yang diketuai oleh seorang wakil rakyat daripada kerajaan.

Ia susulan penerimaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada penyertaan Kiandee bersama lima bekas wakil rakyat dari Sabah ke dalam parti itu secara sah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun PH pernah menjanjikan jawatan itu perlu diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun pelantikan itu bukan sesuatu dasar yang wajib dituruti.

“Ia hanya janji yang dibuat oleh PH. Kita boleh lakukan (tunaikan janji) bila-bila masa saja dan kita masih berpegang kepada janji kita sebelum ini.

“Tapi ia bukan satu keperluan pada masa ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette