Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Citarasa Malaysia di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mengecam malah menghormati pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah berhubung kritikannya terhadap jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Saifuddin Nasution berkata, sebagai ahli Parlimen sejak tiga penggal lalu, Nurul Izzah sudah tentu mempunyai pandangan tersendiri, lebih-lebih lagi pembabitannya dalam beberapa jawatankuasa Parlimen sejak 2008.

“Saya kenal Nurul Izzah, beliau ada pendirian tertentu terhadap sesuatu perkara dan biasanya beliau memilih untuk menzahirkan secara terbuka dan saya menghormati pendirian sebagai ahli Parlimen penggal ketiga.

“Beliau sudah tentu mempunyai sudut pandang tertentu bahawa PAC itu harus dipegang oleh seorang yang mewakili pembangkang. Saya menghormati pendirian beliau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Citarasa Malaysia di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kemasukan enam bekas wakil rakyat UMNO Sabah ke dalam parti itu.

Penyertaan itu turut melibatkan Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hingga timbul pertikaian bahawa jawatan itu perlu dikosong selepas Ahli Parlimen Sabah itu menyertai parti kerajaan.

Perdana Menteri berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Nurul Izzah yang melepaskan jawatannya dalam PAC ekoran Ronald kini bukan lagi sebahagian daripada pembangkang.

Kesal dengan keputusan Dr Mahathir yang mengekalkan Ronald sebagai pengerusi PAC, Nurul Izzah minggu lalu bertindak meletakkan jawatan sebagai saah seorang daripada ahli jawatankuasa Parlimen itu.

Saifuddin Nasution juga berkata, sehingga kini beliau belum berhubung lagi dengan Nurul Izzah dan beliau enggan mengulas lanjut tentang wawancaranya dengan media Singapura baru-baru ini yang mengkritik kepimpinan Dr Mahathir.

“Saya belum menghubungi Nurul Izzah lagi berkenaan perkara itu, saya terputus hubungan sudah seminggu, sebab jadual saya berlegar ke sana ke sini.

“Saya memilih untuk bercakap sendiri dulu berkenaan dengan kenyataan ataupun temubualnya dengan Strait Times Singapura apa cerita sebenar di sebalik itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette