Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Seolah-olah mengetahui empunya diri menjadi buruan, Nurul Izzah Anwar hanya berlalu pergi walaupun beliau dikejar pihak media di Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu daripada awalnya tidak mahu bertemu media yang menunggu di kawasan lobi sebaik beliau keluar dari Dewan Rakyat.

Walaupun terus diasak soalan, anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberi jawapan ringkas.

“No komen,” katanya yang kini menjadi perhatian media bagi mendapatkan komen selepas keputusannya meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) pada Sabtu lalu.

Sehari sebelum itu, dalam satu temubual bersama akhbar Singapura, The Straits Times, beliau meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji menggerakkan agenda reformasi.

Nurul Izzah yang digelar Puteri Reformasi itu turut meluahkan isi hati bahawa beliau sukar bekerja dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Pagi ini, Nurul Izzah muncul di Dewan Rakyat untuk bertanyakan soalan pertama mengenai data dan statistik pesakit obesiti dan diabetis serta jangkaan kesan cukai terhadap minuman manis kepada sektor ekonomi dan kesihatan negara dalam sesi soal lisan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: