Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh menutup begitu sahaja Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Sebaliknya, Pemuda Amanah Negara (Pemuda Amanah) mencadangkan supaya pemilikan Malaysia Airlines dikembalikan semula kepada pelabur swasta seperti sebelum tahun 2014.

Menurut Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil, kerajaan perlu menyenaraikan semula Malaysia Airlines di Bursa Malaysia supaya pelabur swasta seperti institusi pelaburan dan pelabur runcit tempatan dapat membeli saham syarikat penerbangan itu.

“Dengan itu, kerajaan disarankan agar mengurangkan pegangan ekuitinya daripada 100 peratus ketika ini, kepada 30 peratus.

“Kita melihat langkah ini dapat membantu kerajaan kerana pada ketika ini kerajaan menanggung 100 peratus kerugian Malaysia Airlines.

“Selain itu, kerajaan perlu memegang “golden share” dalam Malaysia Airlines selepas proses penyenaraian di pasaran saham supaya masih mempunyai kata putus dalam beberapa aspek pengurusannya walaupun hanya memegang ekuiti minoriti,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Khamis lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, langkah menyelamatkan Malaysia Airlines hanya salah satu pilihan yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Ini kerana kata beliau, pada masa sama kerajaan sedang melihat cara terbaik yang ada untuk mempertahankan syarikat penerbangan itu.

Menurut Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, ini juga dapat memastikan agar identiti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional dapat terus dipelihara.

Justeru, kata beliau, pegangan ekuiti majoriti Malaysia Airlines tidak perlu dijual kepada pelabur atau syarikat luar negara supaya peranan syarikat penerbangan di Malaysia tidak berkurangan pada masa hadapan.

Pemuda Amanah berharap satu solusi kukuh dan bersifat jangka panjang dapat diambil tanpa memberi kesan kepada kewangan kerajaan dan semua pihak berkepentingan.

Bahkan, pihaknya turut mencadangkan beberapa individu yang pernah menyumbang ke arah kecemerlangan Malaysia Airlines pada zaman kegemilangannya dilantik semula dalam lembaga pengarah.

“Ini termasuk Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS pada tahun 80-an yang telah memperbaiki kedudukan kewangan syarikat penerbangan itu,” katanya. – MalaysiaGazette