Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulan Mac 2019 dan Pelancaran Kempen ’Senyum, Sapa, Salam’ (3S) Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Seri Lestari, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 26 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi jaminan setiap permohonan geran daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan disegerakan pemprosesan dan kelulusannya.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kelewatan dalam penilaian dan pemprosesan kelulusan geran tidak akan dilewatkan lagi seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa setiap permohonan geran MPKK adalah telus tanpa melibatkan fahaman politik.

“Saya berharap warga kementerian dapat memastikan setiap permohonan geran dari MPKK disegerakan pemprosesan kelulusannya bagi mengelak kelewatan pelaksanaan program yang dirancang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Mac KPLB di sini.

Di majlis sama beliau turut melancarkan Kempen 3 S atau dikenali sebagai Kempen Senyum Sapa dan Salam sebagai menggalakkan budaya persekitaran warga kakitangan kementerian yang bermuka manis tanpa tekanan kerja.

Beliau mengakui bahawa sebelum ini banyak perkara berkaitan kelewatan geran telah diviralkan isu isu berkaitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan sebagainya sehngga berlaku salah faham.

“Setiap permohonan yang dibuat dan diterima dari MPKK dinilai dan diteliti oleh ahli panel khas kita untuk meluluskan sebarang geran yang dipohon untuk menggerakkan program yang dirancang untuk masyarakat setempat.

“Bila kita adakan kursus induksi dengan MPKK di lima buah negeri dan mereka bukan sahaja diajar tetapi juga praktikal dan kita juga membantu mereka meluluskan geran.

“Sebab kita nak meningkatkan dari segi kemahiran pengurusan pentadbiran MPKK.

“Maka saya minta supaya tidak ada pihak yang salah faham dan akan dipastikan permohonan geran diproses dengan telus dan disegerakan kelulusan kerana matlamat kita ialah untuk memanfaatkan rakyat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette