Umtiti menjadi buruan dua gergasi bola di Manchester selepas Barcelona sedia melepaskan pemain itu dengan nilai 51 juta pound.

ENGLAND – Dua pasukan gergasi bola sepak Manchester bersedia untuk merebut Samuel Umtiti pada akhir musim ini.

Pemain yang dilanda kecederaan itu dianggap liabiliti oleh Barcelona.

Gergasi La Liga Sepanyol itu dikatakan sudah pasrah dengan nasib bintang Perancis yang sering dilanda kecederaan.

Ia mengakibatkan tempoh beraksi Umtiti di atas padang terhad sekaligus didakwa menjejaskan nilai yang dilabur Barcelona ke atas pemain itu.

Malah Barcelona dikatakan tidak lagi sanggup menyimpan pemain itu dan bersedia untuk melepaskannya kepada kelab lain.

Pasukan the Catalans itu mahu menggunakan wang jualan Umtiti untuk merekrut bintang Ajax Matthijs de Ligt, lapor the Daily Mail.

Umtiti dibeli dari Lyon mempunyai klausa pelepasan 429 juta pound tetapi juara La Liga itu bersedia melepaskan Umtiti dengan nilai 51.5 juta pound.

Jumlah itu dikatakan akan dilabur terus untuk membeli De Ligt yang dijangka meninggalkan Ajax akhir musim ini.

Namun difahamkan juga bahawa Ajax mengharapkan yuran lumayan seperti yang diterima hasil jualan Frenkie de Jong kepada Barcelona.

Manchester United dan Manchester City merancang untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan masing masing pada jendela perpindahan musim Ogos ini.

Kesediaan Barcelona melepaskan Umtiti mula meletakkan kedua dua pasukan bersiap sedia memantau prestasi pemain itu ketika ini.- MalaysiaGazette