KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin menjelaskan tindakannya membuat laporan polis terhadap rakan perniagaannya, Kamarul Ariff Abd. Karim berikutan tidak mendapat kerjasama berhubung isu melibatkan syarikat mereka, MRP International Sdn Bhd (MRP).

Ini susulan Fattah teruk dikecam stokis produk kesihatan MRP selepas wang mereka tidak dikembalikan sejak beberapa bulan lalu.

Justeru tindakan itu, katanya, demi membersihkan namanya daripada dakwaan terbabit.

“Saya tahu isu ini selepas beberapa stokis mula memuat naik perkara ini di laman sosial. Saya dituduh menipu stokis-stokis tersebut.

“Bila saya tahu mengenai hal ini, saya terus menghubungi rakan kongsi, Kamarul bagi mendapatkan penjelasan serta ingin melihat penyata kewangan syarikat.

“Namun, dia tidak pernah memberikan kerjasama dan sehingga saya terpaksa membuat laporan polis bagi mendapatkan akses ke atas laporan kewangan syarikat.

“Memang saya merupakan pengarah syarikat ini bersama Kamarul tapi saya memang tidak tahu apa-apa berkaitan hal kewangan syarikat.

“Percayalah, saya memang tiada niat untuk menipu sesiapa dan saya tidak tahu-menahu mengenai isu ini.

“Saya kalau boleh nak buat perjumpaan dengan mereka (stokis-stokis) tapi saya tiada bukti sebab saya memang tiada akses untuk melihat penyata kewangan syarikat,” katanya.

Terdahulu Fattah hari ini mengadakan sidang media di pejabat pengurusannya di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir, peguam yang mewakili Fattah, Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors.

Fattah, 29, membuat laporan pada 8 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurut Fattah lagi, peguamnya sudah menghantar notis pada 13 Februari lalu bagi memberikan kebenaran kepadanya untuk mengakses penyata kewangan namun ia tidak dilayan oleh Kamarul sehingga ke hari ini.

“Sebelum ini peguam saya telah menghantar notis kepada Kamarul supaya membenarkan saya mengakses penyata kewangan syarikat dan menjalankan audit yang lebih terperinci.

“Sehinggalah saya merancang untuk membuat sidang akhbar, baru dia ada menghubungi peguam. Jadi, saya dan peguam akan berbincang tentang perkara ini untuk tindakan lanjut,” jelasnya lagi.

Berikutan isu ini, Fattah berkata, ia memberi pengajaran besar kepada dirinya agar lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan selepas ini.

“Ini merupakan pengajaran untuk saya. Lepas ini saya akan lebih berhati-hati.

“Saya tahu saya tidak bersalah dan berada di pihak yang benar. Saya buat sidang media ini untuk membersihkan nama selain ingin membantu stokis mendapatkan hak mereka semula sebab kebanyakan stokis adalah merupakan peminat saya.

“Kalau ada yang kata benda ini gimik, ia bukan gimik, sebaliknya ia adalah satu isu yang serius,” tegas suami kepada pelakon, Fazura itu.

Sebelum ini, puluhan stokis membangkitkan isu mendakwa ditipu MRP berhubung jualan produk kesihatan dan menuntut wang mereka dikembalikan.-MalaysiaGazette