Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berbual bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters (kiri) semasa menerima lawatan kerja beliau sambil diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Insiden serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand  telah mewujudkan keperluan antara Malaysia dengan negara itu untuk mengeratkan hubungan menentang keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari negara berkenaan, Winston Peters hari ini, perkara tersebut telah dicapai.

“Kami bersetuju memperkukuh hubungan bilateral dalam menentang durjana terrorisme (keganasan),” katanya selepas mesyuarat antara kedua-dua mereka di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Insiden serangan mengorbankan seramai 50 umat Islam termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang mendapat perhatian seluruh dunia.

Ketika kejadian pada jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd Haris, 12, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala Mohd Tarmizi parah. – MalaysiaGazette