Isnaraissah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 75,618 ketua isi rumah menerima bantuan rebat bil elektrik berjumlah RM40 sebulan di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 setakat 11 Mac lalu.

Ia merupakan mereka yang berdaftar berdaftar di bawah e-Kasih dan tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis.

Menurutnya, ia melibatkan 36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima rebat yang layak iaitu sebanyak 213,965 ketua isi rumah.

“Masih ramai lagi yang tidak menerima faedah rebat ini kerana hanya 36.1 peratus sahaja yang mempunyai data yang sepadan dengan akaun utiliti.

“Kebanyakan penerima yang layak tidak mempunyai nombor akaun bil elektrik dengan syarikat utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kiong Yieng ingin tahu kaedah penambahbaikan bagi Skim Bantuan Rebat Bil Elektrik RM40 supaya dapat membantu lebih banyak keluarga memandangkan kebanyakan keluarga yang menerima rebat melalui Program Rebat Bil Elektrik RM20 dahulu tidak layak berdaftar dengan e-Kasih.

Beliau turut menyeru supaya semua wakil rakyat bersikap proaktif dengan turun padang dan membantu ketua isi rumah yang layak untuk membuat pendaftaran bil elektrik dengan syarikat utiliti.

Program Rebat Bil Elektrik RM40 diperkenalkan sejak 1 Januari tahun ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat terpelihara. – MalaysiaGazette