Dewan Rakyat
Zuraidah Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukanlah satu perkara baru.

Demikian kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin apabila mengulas mengenai tindakan anak sulung presiden parti itu.

Menurutnya, ini bukanlah kali pertama Nurul Izzah meletakkan jawatan memandangkan puteri reformasi itu pernah melepaskan jawatan dalam parti dan beberapa jawatan lain sebelum ini.

“Sebabnya dia sebelum ini turut melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sabtu lalu, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai anggota PAC setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu mengekalkan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Malah, pada pada 17 Disember tahun lalu, Nurul Izzah juga melepaskan semua jawatannya dalam PKR termasuk jawatan naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Terbaru, susulan tidak berpuas hati dengan isu membabitkan kepimpinan dalam PAC, Nurul Izzah melepaskan kedudukannnya sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.

Menurut Zuraida yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), isu berkaitan PAC sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan dalam kalangan anggota jawatankuasa itu dengan menteri yang berkaitan.

“Dapatkan penjelasan, tapi sebelum itu dilaksanakan kenyataan umum, saya tak boleh buat apa-apalah sebab beliau (Nurul Izzah) sudah buat,” tambahnya. – MalaysiaGazette