S Balakrishnan

KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di dekat Kulai tengah malam tadi mengundang rasa  terkejut dan pilu.

Sebaliknya, pemergian mengejut itu sebenarnya disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam parti itu apatah lagi mendiang juga merupakan seorang pemimpin yang banyak menabur jasa.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kepada Malaysia Gazette, beliau bukan sahaja sedih malah mengakui partinya begitu terasa dengan pemergian itu.

“Sememangnya saya kehilangan kata-kata. Saya terkejut dan masih lagi seolah-olah tidak percaya.

“Balakrishnan sebenarnya antara pemimpin yang banyak berjasa kepada parti serta akar umbi selama ini. Memang tidak boleh disangkal beliau telah mainkan peranan penting dalam MIC. Orangnya sangat rajin dan tidak kenal putus.

“Kita bukan sahaja akan merasai pemergian ini malah akan merindui kehadiran beliau khasnya di Johor, kita doakan rohnya akan dicucuri rahmat,” katanya.

MGF10102018_PENAMAAN CALON MIC_15
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

Kemalangan mengerikan itu berlaku pada 12.10 tengah malam tadi dengan tiga lagi yang maut adalah G Ravi, 55; A Ragu, 47, dan K. Ramachandran, 51.

Siasatan awal mendapati semua mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dipandu V Vishnukumar, 44, (cedera) dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan berkata, sebuah lori yang dari arah bertentangan dilaporkan telah hilang kawalan lalu melanggar besi tengah pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh  kenderaan dinaiki Balakrishnan.

Beliau berkata kenderaan mangsa kemudian sekali lagi dilanggar oleh kenderaan lain (Proton Wira) yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru yang gagal mengelak kejadian.

“Akibat kejadian, empat penumpang (termasuk pemandu) kereta Toyota Vellfire itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.

Sementara itu, pemandu lori dan Proton Wira itu dilaporkan selamat manakala kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada tahun 2013, mendiang Balakrishnan yang juga merupakan ahli perniagaan terkenal merangkap Pengerusi MIC Bahagian Johor Baharu mengumumkan akan bertanding merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu dan kemudiannya menang.

Bagaimanapun, kemenangan tidak kekal lama apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat pengumuman pemilihan parti bagi jawatan terbabit pada November 2013 itu tidak sah.

Mayat mendiang di jangka disembahyangkan sebelum dibakar mengikut adat Hindu esok sekitar waktu tengahari di Kulai, Johor. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/27/bekas-naib-presiden-mcic-tidak-lagi-individu-maut-di-kulai/