Lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Bhd hari ini berjaya dalam rayuan mereka untuk menghidupkan semula tuntutan balas terhadap syarikat itu dan 10 lagi berhubung kerugian yang didakwa dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd (APP) pada 2014.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh dakwaan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, dijangka bermula tidak lama lagi.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengetepikan perintah penangguhan oleh Mahkamah Rayuan minggu lalu yang membenarkan permohonan penangguhan yang difailkan Najib pada 8 Feb lalu.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, ketika membacakan keputusan itu, berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Justeru, katanya, mahkamah memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan menghantar kes itu semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya.

Panel hakim turut dianggotai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Panel tersebut membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Najib, Harvinderjit Singh yang memohon secara lisan untuk penangguhan prosiding di bawah Seksyen 80 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan pada 4 April ini.

Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, untuk menangguhkan perbicaraan kes berkenaan sehingga rayuan tiga permohonan interlokutori oleh Najib didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa pihak pendakwaan akan kembali semula di hadapan Hakim Makamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, untuk menetapkan tarikh pengurusan kes.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadual bermula 12 Feb sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Feb dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Sementara itu, pihak pendakwaan juga akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib yang menuntut pihak pendakwaan menunjukkan surat lantikan sementara peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai pendakwa raya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya yang dilantik Pejabat Peguam Negara, Datuk V. Sithambaram memberitahu pemberita bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna tidak ada halangan untuk memulakan perbicaraan.

“Perintah mahkamah ini adalah bagi kami untuk terus menghubungi Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk tarikh pengurusan kes dengan tujuan menetapkan tarikh perbicaraan. Kami akan melakukan proses ini dengan serta-merta,” katanya.

— BERNAMA