dewan rakyat
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Rumah-rumah mampu milik yang sedang dibina hanya boleh dijual semula kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peraturan baharu tersebut sedang diperhalusi untuk dimasukkan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan hanya golongan tidak berkemampuan menetap di rumah berkenaan dan bukan sebaliknya.

“Kalau rumah mampu milik itu dibina tahun ini akan siap dalam tempoh tiga setengah tahun, minta pemilik yang ingin menjualnya supaya kembalikan kepada kementerian.

“Sebab kita buat peraturan baharu ini untuk mengawal pembelian, pemilikan dan harga rumah mampu milik kepada golongan yang tidak berkemampuan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, semasa menjawab Perbahasan Titah Diraja kementeriannya, ahli Parlimen Ampang memberitahu, KPKT sedang mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam sekiranya boleh mengecualikan kos guaman kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk membeli rumah.

“Hanya rumah yang dibina pada 2019, bawah dasar rumah mampu milik yang baru ini.

“Yang lama itu saya tidak boleh buat apa-apa, namun kita tengah kaji untuk selamatkan sebanyak mungkin,” katanya lagi.

Jelas Zuraida, antara tujuan ia dilakukan adalah untuk mengawal harga rumah bagi memastikan pihak yang tidak mampu membeli rumah berkenaan, masih dapat membelinya dengan kadar yang berpatutan. – MalaysiaGazette