Dewan Rakyat
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyerahkan status jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Beluran itu akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat jika kedudukannya diganti dengan orang lain.

“Saya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan kedudukan saya. Saya sedia diganti jika Pengerusi PAC baru sudah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun Ronald berkata, tidak ada sebab untuk beliau melepaskan jawatan ketika ini memandangkan Perdana Menteri sendiri mahu mengekalkannya meskipun sudah menyertai parti komponen dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Isu peletakan (jawatan) tak timbul kerana Perdana Menteri kata saya kekal Pengerusi PAC sehingga ada pengganti baharu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ronald juga tidak berasa tertekan dengan tindakan tiga ahli Parlimen pembangkang yang bertindak meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengekalan jawatannya itu.

“Tidak timbul isu tak cukup, memandangkang empat ahli jawatankuasa letak jawatan. Asas mesyuarat cuma perlukan seorang pengerusi dan tiga ahli jawatankuasa, hari ini kita ada pengerusi dan enam ahli jawatankuasa,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh menjelaskan, pihaknya masih belum menerima surat peletakan jawatan tiga Ahli Parlimen pembangkang terbabit.

Ujarnya, meskipun tanpa ketiadaan mereka, PAC masih boleh mengadakan mesyuarat kerana terdapat sembilan anggota lain. – MalaysiaGazette