Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menasihatkan agar Nurul Izzah Anwar untuk terus berani menyatakan pendiriannya dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu sentiasa berani bagi memastikan suara dalaman gabungan itu turut didengari oleh kepimpinan PH.

“Nurul bergembiralah dan terus berani! Semua usaha mereka untuk menghalang ayah anda tidak akan berjaya,” ciapnya dalam Twitter beliau hari ini.

Ahli DAP itu merujuk kepada Nurul Izzah yang sebelum ini bertindak melepaskan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berikutan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan Datuk Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa.

Menurut Nurul Izzah, langkah itu bertentangan dengan manifesto PH yang mahu jawatan tersebut dipegang pembangkang.

Rentetan daripada itu, Nurul Izzah dalam temuramah bersama Straits Times Singapura meluahkan kekecewaannya yang turut meliputi isu penerimaan masuk bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ke dalam PH menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Tindakan anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendapat pelbagai reaksi daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya yang mendakwa Nurul Izzah masih belum cukup matang, tidak rasional serta beremosi dalam memahami pendirian Mahathir serta kerajaan.

“Apa yang dilakukan oleh perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

“Sebagai seorang daripada anggota parlimen dan bekas Naib Presiden PKR, saya yakin Nurul Izzah tidak lupa bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah keputusan sebulat suara majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH),” katanya semalam.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Nurul Izzah berhak dan layak memberikan pandangan terhadap kepimpinan kerajaan berdasarkan apa yang dilalui anak sulungnya selama dua dekad sebelum ini.

Anwar berkata, beliau dapat melihat derita dan kesengsaraan yang ditanggung keluarganya sejak dua dekad lalu bermula dengan episode beliau dipecat daripada kabinet pada tahun 1998.

“Izzah berhak dan layak memberikan pandangan. Dan kami sekeluarga akan terus memberikan tumpuan kepada masa depan Malaysia bersama kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu. – MalaysiaGazette