Perjanjian persefahaman antara Koperasi Komuniti Selatan Berhad yang diwakili Pengurus Besar En Andrew Ling (kiri) dan Ritz Guarana Plantation Holding Berhad yang diwakili Pengarah Eksekutif Datuk Seri Zakwan Hafiz Ahmad Ansari (kanan).

KUALA LUMPUR – Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Koperasi Komuniti Selatan Berhad (KKSB) dengan Ritz Guarana Plantation Berhad (RITZ) telah memberi hak ekslusif kepada KKSB untuk menjadi pengedar tunggal biji benih dan anak pokok di seluruh negeri Johor.

Pengerusi Koperasi Komuniti Selatan Berhad, Mohd Helmy Ibrahim berkata, KKSB membeli sebanyak 12 tan biji benih guarana daripada Ritz dengan kos bernilai RM60 juta.

Ia sekaligus memberikan hak kepada koperasi untuk menjadi tapak (nursery) serta pengedar benih semaian pokok guarana.

“Sebagai sebuah koperasi yang bertanggung jawab menjana keuntungan kepada ahlinya, mereka telah memilih tanaman guarana kerana ia adalah tanaman kontan alternatif yang menguntungkan.

“Ia dilihat berpotensi menaikkan ekonomi ahlinya melalui pertanian baharu.

“Guarana memiliki potensi untuk abad ke depan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Cuma kita perlu mengembling tenaga membantu usaha ini untuk capai bukti kesahihan keuntungan fasa pertama di tanah Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Helmy, keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan ahli-ahlinya dan dan rakyat negeri Johor.

Malah, pada masa sama juga, ia dapat membantu petani-petani mendapatkan pendapatan yang lebih berpotensi serta memberi keuntungan yang tinggi, katanya.

Antara kandungan MoU antara kedua-dua pihak kata beliau ialah membekal dan menjual baja yang sesuai untuk guarana.

“RITZ menyediakan khidmat nasihat bagaimana menanam pokok guarana dan cara penjagaan.

“RITZ akan membeli semula buah guarana yang telah dituai daripada KKSB serta kos pengangkutan untuk penghantaran dan pengambilan barang tuaian ditanggung sepenuhnya oleh RITZ,” ujarnya.

Tambah beliau, KKSB dilarang untuk menghasilkan biji benih sendiri tanpa kebenaran RITZ dan koperasi itu hanya menggunakan baja yang sesuai dan dibenarkan oleh RITZ sahaja. – MalaysiaGazette