Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz membentangkan Prestasi Kewangan 2018 dan Pengumuman Pengagihan Pendapatan di Hotel Hilton Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MAC 2019.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan melaksanakan Kajian Semula Separuh Penggal Rancangan Strategik 2017-2022 yang tertumpu kepada bidang-bidang seperti Peruntukan Aset Strategik, Pengurusan Kecairan, Pengurusan Risiko Organisasi dan Transformasi Organisasi.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kajian semula itu penting bagi mempertingkatkan potensi PNB dan seterusnya mampu memberikan pulangan mampan dalam tempoh jangka panjang.

Jelasnya, bagi terus mempelbagaikan portfolio, PNB bukan sahaja meninjau pasaran global malah turut berminat mengembangkan portfolio dalam pasaran tempatan terutamanya dalam pasaran bon yang telah lama dikenali sebagai salah satu pasaran paling maju di Asia.

“Salah satu (pasaran yang dikaji) adalah pasaran bon yang mana kita semua tahu pasaran bon tempatan adalah salah satu pasaran yang paling maju di Asia dari segi jumlah instrument, struktur dan kematangan struktur dan sebagainya.

“Kami telah terlibat di dalam pasaran ini yang mana kira-kira lima hingga enam peratus telah dilaburkan dalam pasaran bon dan dalam masa yang sama kami turut melihat kepada aset kelas yang lain termasuk REITS,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan prestasi kewangan PNB bagi tahun kewangan 2018 di sini hari.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Tambah Zeti, bagi pelaburan di peringkat global, PNB melihat kepada pelbagai negara dan bukan sahaja tertumpu kepada ekonomi maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Australia dan Jepun malah turut berminat kepada pasaran-pasaran Asia dan negara pesat membangun di Eropah.

“Kami tidak akan tergesa-gesa (untuk membuat keputusan pelaburan) kerana PNB mempunyai jawatankuasa pelaburan yang akan menilai setiap cadangan untuk aset-aset tersebut dan dilakukan secara berhati-hati dan beransur-ansur.

“Kami akan sentiasa melihat kesemua opsyen dan mahu mengurangkan risiko yang berlaku dalam pasaran kewangan.

“Namun begitu ianya akan dilakukan secara berhati-hati kerana kami tidak mahu sebarang keputusan yang dibuat akan menganggu pasaran termasuk pasaran wang asing,” katanya lagi.

Jelas Zeti, dari segi pengurusan kecairan yang menjadi salah satu fokus PNB dalam kajian separuh penggal itu, firma pengurusan dana itu mahu mengurangkan pegangan tunai secara efektif.

“Kami melihat kepada instrumen apa (yang terbaik) untuk menguruskan portfolio kecairan kerana kami tidak mahu memgang tunai terlalu banyak dan ianya tidak menjana pendapatan untuk kami,” katanya lagi.

PNB merancang untuk memindahkan pegangan tunai kepada portfolio Ekuiti Swasta dan Pendapatan Tetap global.

Pegangan tunai PNB berjaya dikurangkan kepada 14.5 peratus pada Februari 2019 berbanding 18.3 peratus pada tempoh sama tahun lepas dengan pelaburan dalam ekuiti swasta meningkat kepada 50 peratus berbanding 39 peratus pada tahun lepas.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast