Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad pada Pengumuman Pengagihan Pendapatan ASB2 6.00 Sen Seunit di Hotel Hilton Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MAC 2019.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan agihan pendapatan dana tetap Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) sebanyak 6 sen seunit manakala Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5.50 sen seunit.

Sejumlah RM610.7 juta pendapatan diagihkan untuk dana ASB2 kepada 404,706 pemegang unitnya.

Setakat 28 Februari lalu, ASB2 telah merekodkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah setengah bilion.

Manakala RM1.1 bilion diperuntukkan untuk diagihkan kepada 541,758 pemegang unit ASM.

Setakat 28 Februari lalu, ASM merekodkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM800 juta.

Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz turut mengumumkan tiga lagi pengagihan pendapatan bagi dana harga berubah iaitu ASN Equity 3 sebanyak 4.10 sen seunit, ASN Imbang 2 (4.20 seunit) dan ASN Sara 1 (5.00 sen seunit).

Jumlah pengagihan bagi ketiga-tiga dana adalah sebanyak RM236.1 juta.

“PNB mengagihkan dividen sebanyak RM15 bilion pada 2018, jumlah terbesar pernah diagihakan setakat ini.

“Ini menjadikan dividen kumulatif berjumlah RM187 bilion sejak PNB ditubuhkan,” katanya semasa membentangkan prestasi PNB bagi tahun kewangan 2018 dan pengumuman lima dana di bawah anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB). -MalaysiaGazette.