Bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar jangan mudah terpedaya sekiranya menerima  notis atau surat tawaran berunsurkan penipuan melibatkan kutipan wang deposit daripada kontraktor.

Ini kerana, terdapat aktiviti melibatkan kutipan wang deposit pihak tidak bertanggungjawab yang kononnya menyediakan khidmat pembinaan projek perumahan mampu milik.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberitahu, terdapat satu kenyataan di Facebook menunjukkan ada pihak menawarkan perumahan percuma melalui program anjuran GIDIFA yang
didakwa bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Penipuan ini menyasarkan kontraktor pembinaan untuk menjadi ‘kontraktor panel’ dengan dikenakan bayaran yuran antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi melayakkan mereka menjadi “fundee”,” kata kenyataan yang sama.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman sosial berkenaan, sebuah syarikat pemaju yang dinamakan Tu-E Capital dan didakwa terlibat dalam aktiviti tersebut tidak dilesenkan di bawah Akta Akta pemajuan
Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) dan bukan pemaju perumahan.

Malah, kata kenyataan tersebut, individu bernama Datuk Mohamad Zahari Awang yang dilaporkan sebagai pengarah syarikat Tu-E Capital tidak memegang sebarang jawatan sebagai pengarah mana-mana pemaju perumahan yang dilesenkan di bawah Jabatan Perumahan Negara dan KPKT.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu insentif atau skim serta program yang diperkenalkan oleh pihak JPN, KPKT dengan melayari portal rasmi Jabatan Perumahan Negara di http://ehome.kpkt.gov.my.

Sebarang aduan atau makluman sekiranya ada boleh dikemukakan kepada JPN, KPKT melalui emel di [email protected] atau [email protected]. – MalaysiaGazette