Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut hadir bersama-sama menyertai majlis memperingati serangan ke atas jemaah dua masjid di Christchurch. foto AGensi

CHRISTCHURCH- Satu upacara memperingati mangsa serangan ganas Christchurch telah diadakan Taman Hagley di sini pada Jumaat pagi untuk memberikan penghormatan kepada mereka, lapor agensi berita China Xinhua.

Upacara itu dihadiri Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, Gabenor Jeneral Patsy Reddy, Perdana Menteri Australia Scott Morrison dan lebih 100 orang kenamaan antarabangsa.

Mangsa serangan ganas Masjid Al Noor yang terselamat, Farid Ahmed menerima tepukan gemuruh ketika beliau menaiki pentas untuk berucap.

Ahmed berkata mereka yang terkorban dua minggu lepas kini tiada lagi namun jiwa mereka masih hidup.

Nama 50 mangsa yang maut dalam serangan itu telah dibaca dengan kuat oleh anggota komuniti Islam New Zealand.

Gabenor Jeneral Patsy Reddy pula berkata beliau hadir untuk “menyampaikan rasa kasih dan ucapan takziah serta sokongan daripada Ratu kita, daripada pemimpin negara di seluruh dunia dan daripada warga New Zealand.”

“Kita terpaksa berdepan dengan keadaan sebegini dalam sejarah kita,” kata Reddy sambil menambah “senjata terbaik bagi menentang politik kebencian yang menjijikkan serta tidak masuk akal boleh ditemui dalam diri setiap orang daripada kita.”

Perdana Menteri Jacinda Ardern menerima tepukan gemuruh apabila beliau menyampaikan ucapannya.

“Keganasan dan ektremisme dalam semua bentuk tidak dialu-alukan di sini. Sejak dua minggu lepas, kita telah membuktikan perkara itu. Anda telah membuktikannya,” kata Ardern.

“Dunia telah terperangkap dalam satu kitaran ganas ekstremisme yang terus membiakkan ektremisme dan ia perlu dihentikan.”

Upacara itu adalah anjuran bersama kerajaan, bandar Christchurch, puak Ngai Tahu Maori dan komuniti Islam.

Ia disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Upacara itu dilakukan dengan beberapa langkah keselamatan yang amat ketat pernah disaksikan di New Zealand untuk satu upacara awam.

Penganjur acara menganggarkan khalayak yang hadir berjumlah antara 20,000 hingga 25,000 orang.- Agensi