Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda kontroversi pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang dilantik dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan (PH) kini timbul pula isu peruntukan terlalu tinggi untuk yayasan berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa YADIM terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana pengambilan terlalu ramai kakitangan baharu.

Setiap pegawai yang bekerja di pejabat Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertaraf perunding dibayar gaji antara RM10, 000 hingga RM12,000 sebulan.

“Dengan jumlah sedemikian untuk dibayar kepada beberapa pegawai yang telah ditawarkan jawatan tersebut khabarnya kos pejabat YDP sahaja mencecah *RM50,200 sebulan.

“Ini bermakna YADIM harus menanggung lebih daripada setengah juta setahun semata-mata untuk membayar gaji-gaji para pegawai di Pejabat YDP.

” Ini tidak termasuk iklan perjawatan pengarah-pengarah negeri untuk diisi bagi merealisasikan hasrat kepimpinan YADIM baharu untuk menubuhkan cawangan-cawangan YADIM di negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kata Asyraf Wajdi, YADIM beroperasi mengikut zon bagi memastikan perbelanjaan yang efisien berdasarkan bentuk gerak kerja YADIM kerana setiap kos operasi sesebuah pejabat YADIM negeri memerlukan kos pengurusan dan operasi yang besar.

” Persoalannya, di mana YADIM akan peroleh wang membayar gaji perunding-perunding dan pegawai-pegawai baharu yang mencecah lebih setengah juta dan hanya berperanan di pejabat YDP sahaja?

“Bagaimanakah kewangan YADIM akan terus kekal mapan jika kos melonjak tinggi dengan pembukaan cawangan-cawangan seluruh Malaysia sedangkan YADIM boleh sahaja menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini?” soalnya.

Lebih membimbangkan, katanya, jika YADIM terpaksa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menanggung segala kos tambahan ini kerana peruntukan kerajaan kepada YADIM adalah amat terhad.

Sewajarnya dalam keadaan Kerajaan PH meminta penjawat awam mengikat perut, YADIM sepatutnya memanfaatkan sahaja lebih kurang 200 orang kakitangan yang sedia ada.

Bahkan mereka juga berhak diberi peluang untuk dikembangkan potensi masing-masing, katanya yang juga bekas peneraju YADIM.

Untuk makluman, katanya, YADIM yang ditubuhkan pada 1974 adalah sebuah institusi yang berpayung di bawah Jabatan Perdana Menteri dan berasaskan sebuah organisasi tanpa keuntungan ( Non-Profit Organisation). Matlamat penubuhannya adalah untuk menggerakkan usaha-usaha dakwah Islamiyah dan Islahiyah di negara ini melangkaui ideologi politik.

Justeru kata Asyraf Wajdi, pihaknya mendesak tindakan segera Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa untuk memperbetulkan isu tadbir urus YADIM.

“Hentikanlah usaha mengubah YADIM seolah-olah menjadi seperti parti politik dengan melantik pegawai-pegawai baharu dalam kalangan orang parti dan mewujudkan cawangan di negeri-negeri yang bakal membebankan institusi. Lebih malang sekali jika sebuah institusi Islam yang banyak jasanya kepada umat Islam hampir lima dekad runtuh hanya untuk memuaskan agenda politik kepartian,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast