Gambar hiasan

ISTANBUL – McDonald’s Corporation gagal mencapai anggaran keuntungan suku tahunan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun di tengah-tengah kempen boikot global terhadap rantaian makanan segera itu kerana perang di Semenanjung Gaza.

Walaupun jualan meningkat hampir 2% pada suku pertama, menandakan pertumbuhan positif 13 suku berturut-turut, syarikat makanan segera ini  menghadapi masalah di pasaran antarabangsa, terutamanya di kawasan yang terjejas akibat konflik di Gaza.

“Jualan global meningkat 1.9%, mencerminkan jualan setanding yang positif dalam segmen pasaran Amerika Syarikat dan Antarabangsa.

“Namun jualan dalam segmen pasaran berlesen pembangunan antarabangsa adalah negatif kerana segmen itu terus dipengaruhi oleh perang di Timur Tengah.

“Kesan berterusan perang di Timur Tengah lebih daripada mengimbangi jualan positif di Jepun, Amerika Latin dan Eropah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Rangkaian makanan segera AS itu berdepan dengan kempen boikot sejak Alonyal Limited, yang mengendalikan McDonald’s di Israel, memberikan beribu-ribu makanan percuma kepada tentera Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s Chris Kempczinski dalam satu persidangan awal tahun ini mengakui konflik di Gaza “memberi kesan pada jenamanya” dan menjejaskan jualan di negara majoriti Muslim. – Agensi